SEJARAH


Saribas Dayak Local Authority merupakan salah satu daripada Majlis Kuasa Tempatan yang terawal ditubuhkan di Sarawak. Ia mula beroperasi pada 1 Januari 1948 dengan pejabat pertamanya menumpang di satu Bangunan Kerajaan bertempat di kawasan yang dikenali " Pun Embawang " oleh penduduk tempatan. Pejabat lama ini terletak di tebing Sungai Layar berdekatan dengan Kubu Lily Betong.


Pada 1 Januari 1957, Saribas Dayak Local Authority bertukar corak pentadbiran kepada campuran Local Authority yang dianggap lebih sesuai memandangkan pelbagai kaum yang bermastautin di daerah ini. Pemilihan menjadi Pengerusi pertama campuran Local Authority diterajui oleh Pengarah Bernard Montegrai ak Tugang. Beliau telah meninggal dunia pada 24 Disember 1997. Tidak lama kemudian Majlis Kuasa Tempatan ini dinamakan Saribas District Council atau Majlis Daerah Saribas.

Dari bangunan lama ini Majlis Daerah Saribas telah berpindah pula ke pejabat baru di Dewan Brooke Betong pada 17 Mac 1959.
Majlis Daerah Saribas sekali lagi telah berpindah buat kali ketiga ke pejabat baru bangunan satu tingkat di Jalan Datuk Montegrai Betong pada 26 Jun 1969.

Pada 1 Januari 1991, Majlis Daerah Saribas telah diwartakan bertukar nama kepada Majlis Daerah Betong (Betong District Council).


Sejajar dengan arus kemajuan zaman, perkembangannya dan pertambahan tugas serta bertambahnya bilangan kakitangan Majlis telah mendorong Majlis Daerah Betong bercadang untuk membina pejabat baru Majlis. Usul ini telah dikemukakan kepada kerajaan dan diluluskan dengan peruntukan belanja berjumlah RM 1.2 juta. Pejabat baru Majlis telah dibina di tapak lama Kubu Rentap , Betong yang meliputi kawasan seluas 930 meter persegi. Pembinaan projek ini dimulakan pada 1 Disember 1992.

Pada 26 September 1993, Majlis Daerah Betong sekali lagi mengukir sejarah apabila bangunan baru Pejabat Majlis Daerah Betong telah dibuka dengan rasminya oleh YB Datuk Amar Alfred Jabu ak Numpang DA, PNBS, KMN, PPC (Emas) Timbalan Ketua Menteri (1) merangkap Menteri Pertanian dan Pembangunan Masyarakat Sarawak.

Bangunan Dua Tingkat, Pejabat Majlis Daerah Betong ini menempatkan Bahagian Perbendaharaan, Bahagian Kesihatan Awam, Bahagian Penilaian dan Cukai di tingkat bawah bangunan berkenaan. Manakala tingkat atas pula terletaknya Pejabat Pengerusi Majlis, Pejabat Setiausaha Majlis, Bahagian Kerja Raya, Bilik Mesyuarat dan Bilik Komputer. Dengan adanya bangunan baru Pejabat Daerah Betong ini nescaya akan memberikan keselesaan dan dorongan kerja kepada kakitangan Majlis dalam memikul segala tanggungjawab demi melaksanakan dasar-dasar dan fungsi-fungsi Majlis Tempatan.